Kehadiran UMNO di Sabah sebenarnya telah mengubah senario politik negeri di Bawah Bayu ini. Percubaan sebahagian bekas ahli USNO & Berjaya untuk bangun membina kekuatan menentang dan mengubah sokongan rakyat (bumiputera Islam) dari UMNO ternyata gagal. Kekuatan UMNO Sabah sebenarnya berpaksikan kepada beberapa perkara, dan dikesempatan ini saya ingin berkongsi pandangan dengan menyentuh Kekuatan Pemimpin UMNO tempatan itu sendiri.
Pemimpin UMNO yang ada pada hari ini adalah warisan daripada kepemimpinan USNO & Berjaya. Mereka telah membina kekuatan dari dua buah parti politik ini walaupun sebahagiannya lahir dari parti PBS. Mereka ini mempunyai pengaruh kuat dan seandainya mereka ini bergabung dan menubuhkan parti tempatan (baru) dan bertindak melawan UMNO dalam PRU13 sudah pasti beberapa kejutan akan terhasil. Namun itu hanya andaian, kerana mereka ini masih setia bersama UMNO.
Mengimbas kembali sejarah kemasukan UMNO ke Negeri di Bawah Bayu, beberapa nama pemimpin yang masih ada pada hari ini adalah mereka yang kuat dalam usaha merealisasikan kewujudan UMNO di Sabah. Kedudukan mereka pada ketika itu sememangnya teguh dan diterima masyarakat setempat. Lantaran itu tidak sukar bagi mereka untuk memastikan UMNO terus bertapak dengan selesa di kawasan mereka. Penerimaan masyarakat pada masa itu secara amnya adalah disebabkan pemimpin yang mereka hormati menerima UMNO sebagai wadah untuk meneruskan perjuangan politik mereka. Kalau ada pun alasan penerimaan UMNO oleh masyarakat tempatan adalah disebabkan oleh alasan agama & bangsa, saya kira itu amat sedikit bilangannya.
Senario yang ada pada hari ini masih berpihak kepada UMNO untuk terus bertahan. Keadaan ini menjadi sebegitu rupa bukan saja disebabkan kekuatan pemimpin UMNO yang ada malah kekurangan pada parti-parti lawan sendiri. Disebut-sebut PKR sebagai lawan utama UMNO tapi apa yang berlaku kepada PKR ini ialah pemimpin yang ada tidak mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan mereka sendiri. Usah kita bandingkan kekuatan kewangan mereka tapi kekuatan dari segi ketrampilan, ketokohan untuk berucap(berpidato) juga sukar untuk dicari. Kepintaran dari segi mengulas isu-isu yang ada samada isu nasional atau tempatan perlu diambil berat oleh pemimpin yang ingin menguatkan pengaruh dan kepercayaan masyarakat. Mereka tidak boleh meniru cara para pemimpin UMNO berpolitik. Parti-parti lawan kena faham bahawa UMNO Sabah kuat serba serbi lantaran itu mereka seharusnya tidak berpolitik cara UMNO, sebaliknya mencari kaedah yang mudah untuk digunakan meskipun strategi sama digunakan dengan melihat kelemahan UMNO itu sendiri.